Rabu, 28 Jamadilawal 1447H | 19 November 2025M – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) ingin memaklumkan orang ramai bahawa keputusan Tawaran Tertutup Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) bagi satu (1), dua (2), tiga (3) dan empat (4) angka Siri BBL melalui Click-and-Bid akan diumumkan melalui laman sesawang NomborKu: www.nomborku.gov.bn pada hari Khamis, 20 November 2025.
Semua penender yang telah mengikuti Tawaran Tertutup TPK sama ada berjaya atau sebaliknya juga akan menerima e-mel mengenai keputusan tawaran tersebut melalui e-mel yang telah didaftarkan kepada pihak JPD.
Penender yang berjaya adalah dikehendaki untuk mematuhi terma dan syarat seperti berikut:
i. Penender yang berjaya hendaklah membayar keseluruhan harga tawaran dan mendaftarkan TPK di atas nama Penender sendiri tidak lewat satu (1) bulan dari tarikh menerima Surat Berjaya;
ii. Jika penender yang berjaya gagal membuat pembayaran, maka TPK yang dimenangi akan dibatalkan secara automatik dan Caj Penyertaan Tawaran tidak dikembalikan;
iii. Permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran mendaftar TPK bolehlah dipohonkan setelah bayaran penuh dijelaskan dan dihadapkan dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh Surat Berjaya dikeluarkan;
iv. Setelah pembayaran berjaya dibuat, sekiranya pemohon belum mendaftarkan TPK dan berhasrat untuk menyimpan TPK, Penahanan (Holding) TPK bolehlah dibuat dengan jumlah bayaran Penahanan sebanyak $20.00 bagi tempoh setiap satu (1) tahun Penahanan. Tempoh minima bagi Penahanan adalah satu (1) tahun dan maksima sepuluh (10) tahun mengikut jangka masa yang dipilih bagi setiap TPK;
v. Pembayaran TPK berjaya dan Penahanan TPK boleh dilaksanakan melalui dalam talian atau di mana-mana kaunter Cawangan JPD kecuali Kompleks Litar Latihan dan Ujian Memandu JPD Sungai Akar;
vi. Bagi TPK satu (1) dan dua (2) angka, Caj Penyertaan Tawaran akan dikembalikan bagi penender yang tidak berjaya dalam tawaran tertutup. Bagi tujuan pembayaran balik, penender yang tidak berjaya nanti perlu mengisi borang permohonan pembayaran balik (refund) dengan menyertakan dokumen-dokumen sokongan. Proses pembayaran balik Caj Penyertaan Tawaran akan mengambil masa lebih kurang dua (2) hingga ke tiga (3) bulan.
vii. Jika penender yang berjaya ingin menyerahkan TPK berkenaan, persyaratan Perkhidmatan Serah bagi TPK tiga (3) dan empat (4) angka adalah seperti berikut:
- Perkhidmatan Serah TPK Tiga (3) dan Empat (4) angka dibenarkan kepada sesiapa sahaja lebih dari satu (1) kali sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK sahaja atau Perkhidmatan Serah TPK melalui Tukar Milik Kenderaan;
- Permohonan Serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan selepas tempoh 12 bulan berakhir dari tarikh Surat Berjaya dikeluarkan, permohonan yang dibenarkan akan dikenakan Caj Perkhidmatan sebanyak $5.00;
- Permohonan Serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan kurang daripada tempoh 12 bulan dari tarikh Surat Berjaya dikeluarkan, permohonan yang dibenarkan akan dikenakan Caj Perkhidmatan sebanyak $100.00.
- Permohonan Serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan yang telah diproses dan dibenarkan, Caj Perkhidmatan tidak akan dikembalikan (non-refundable).
viii. Jika penender yang berjaya ingin menyerahkan TPK berkenaan, persyaratan Perkhidmatan Serah bagi TPK satu (1) dan dua (2) angka adalah seperti berikut:
- Perkhidmatan Serah TPK satu (1) dan dua (2) angka dibenarkan kepada sesiapa sahaja lebih daripada satu (1) kali melalui:
- Perkhidmatan Serah TPK; dan
- Perkhidmatan Serah melalui Tukar Milik Kenderaan
- Permohonan Serah satu (1) dan dua (2) angka, sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan akan dikenakan yuran dan caj seperti berikut:
- Yuran Serah sebanyak $1,000.00; dan
- Caj Perkhidmatan sebanyak $100.00.
- Permohonan Serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan yang telah diproses dan dibenarkan, bayaran Yuran Serah sebanyak $1,000.00 dan Caj Perkhidmatan sebanyak $100.00 tidak akan dikembalikan (non-refundable)
Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sukacita ingin mengucapkan tahniah kepada semua penender yang berjaya dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penender di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.
Bagi sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui WhatsApp +673 7181641 atau e-mel hello@jpd.gov.bn Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lanjut.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Pengangkutan Darat
Rabu, 28 Jamadilawal 1447H | 19 November 2025M