Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa keputusan Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) bagi tiga (3) dan empat (4) angka Siri BBG melalui Click-and-Bid akan diumumkan melalui laman sesawang JPD di www.jpd.gov.bn dan juga www.nomborku.gov.bn pada hari Ahad, 31 Mac 2024.
Sukacita dimaklumkan semua penender yang telah mengikuti Tawaran Tertutup TPK samada berjaya atau sebaliknya juga akan menerima emel mengenai keputusan tawaran tersebut melalui emel yang telah didaftarkan bersama pihak Jabatan ini.
Penender yang berjaya adalah dikehendaki untuk mematuhi terma dan syarat pendaftaran kenderaan seperti berikut:
i. Penender yang berjaya adalah dikehendaki menjelaskan keseluruhan harga tawaran dan mendaftarkan TPK di atas nama penender sendiri tidak lewat satu (1) bulan dari tarikh Surat Berjaya dikeluarkan;
- Jika penender gagal untuk melunaskan pembayaran dalam tempoh (1) bulan dari tarikh Surat Berjaya dikeluarkan, tawaran TPK penender adalah dibatalkan;
ii. Permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran mendaftar TPK bolehlah dipohonkan setelah bayaran penuh dijelaskan dan dihadapkan dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh Surat Tawaran Berjaya dikeluarkan (seperti di perenggan i).
iii. Setelah pembayaran berjaya dibuat, sekiranya pemohon belum mendaftarkan TPK dan berhasrat untuk menyimpan TPK, Penahanan TPK bolehlah dibuat dengan jumlah bayaran Penahanan sebanyak $20.00 bagi tempoh setiap satu (1) tahun Penahanan. Tempoh minima bagi penahanan adalah satu (1) tahun dan maksima sepuluh (10) tahun mengikut jangka masa yang dipilih bagi setiap TPK;
iv. Pembayaran TPK berjaya dan Penahanan TPK boleh dilaksanakan melalui dalam talian atau di mana-mana kaunter cawangan JPD;
v. Jika penender ingin menyerahkan TPK berkenaan, persyaratan perkhidmatan serah adalah seperti berikut:
- Penender dikehendaki membuat bayaran perkhidmatan serah berjumlah $5.00;
- TPK hanya boleh diserahkan selepas tempoh 12 bulan dari tarikh Surat Berjaya; dan
- TPK boleh diserahkan kurang daripada 12 bulan dari tarikh Surat Berjaya dengan syarat TPK berkenaan telah digunakan (didaftarkan) atas nama pemilik TPK; dan
vi. Penender yang gagal untuk membayar harga tawaran TPK yang ditawarkan akan disenaraihitamkan dari menyertai tawaran tertutup bagi tempoh satu (1) tahun dan TPK berkenaan akan ditawarkan semula.
Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sukacita ingin mengucapkan tahniah kepada penender-penender yang berjaya dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penender diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui WhatsApp +673 7181641 atau melalui emel info.ltd@jpd.gov.bn. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lanjut.
-TAMAT -
Disediakan oleh
Jabatan Pengangkutan Darat,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.